Sunday 13 July 2014

Selamat Berpindah - Julai 2014

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera..

SEMSALD telah kehilangan 3 orang guru yang berpindah berkhidmat di SBP semenanjung mulai 8 Julai 2014. Guru tersebut ialah ;

1. Ustaz Yusri bin Yusoff ke SM Sains Batu Pahat
2. Cikgu Herna binti Nordin ke SM Sains Kepala Batas
3. Cikgu Haspulnizam bin Derahman ke SBPI Temerloh

Saya sebagai penama pertama di atas tu mewakili rakan Cikgu Herna dan Cikgu Nizam dan juga selaku guru yang bertanggungjawab ke atas blog rasmi sekolah ini merakamkan jutaan terima kasih kepada Pengetua, Penolong-penolong Kanan, Ketua-Ketua Bidang, Ketua-Ketua Panitia, rakan-rakan Guru Cemerlang, para guru seterusnya anak-anak didik serta AKP yang banyak membantu, menyokong, memberi tunjuk ajar sepanjang kami berada di SEMSALD ini. Jutaan kemaafan kami pohonkan sekiranya sepanjang berada di SEMSALD ada kesilapan dan kesalahan yang kami lakukan secara sengaja mahupun sebaliknya. Halalkanlah segala makan minum kami selama ini. Doakanlah kami dapat berkhidmat dengan lebih baik dan sentiasa mendapat keberkatan di tempat yang baru ini. Sesungguhnya kenangan dan pengalaman di Lahad Datu khususnya di SEMSALD adalah yang terbaik dan mencabar bagi kami untuk berhadapan situasi yang baru. Di SEMSALD kami ada rakan-rakan guru dan pentadbir dan AKP yang amat memahami, serta murid yang sentiasa dahagakan ilmu setia bersama guru tanpa mengira waktu dan keadaan, dan yang paling sukar dicari seorang pengetua yang mempunyai matlamat dan berwawasan tinggi, terus berusaha memartabatkan nama SM Sains Lahad Datu dari ke tahun ke tahun dalam pelbagai anugerah dan penghargaan. Kini 2014 segalanya terbukti usaha pengetua dan rakan guru sekalian .. SM Sains Lahad Datu dengan rasminya diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia  sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan, selain mendapat anugerah New Deal untuk kali ketiga. Tahniah dan syabas kami ucapkan.. itulah natijah daripada usaha yang tidak pernah putus dan matlamat serta wawasan yang jelas.. Tahniah diucapkan khas buat Bonda Hjh Juriah Ahmad..Pengetua Cemerlang SM Sains Lahad Datu.

Terima kasih, Selamat Berpuasa, Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir & Batin

Ikhlas daripada Us. Yusri, Cikgu Herna dan Cikgu Haspulnizam

Saturday 28 June 2014

Tahniah.. Baiah 2013

Assalamualaikum / salam sejahtera,

Syukur alhamdulillah setelah semalam mendapat pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan, hari ini 27 Jun 2014 SEMSALD sekali lagi dimurahkan rezeki Allah swt.. mendapat Baiah Pengetua kali ke 3 berturut-turut. Tahniah untuk Pengetua Cemerlang Hjh Juriah Ahmad dan selurug warga SEMSALD yang bertungkus lumus dalam pelbagai aspek. Mudah-mudahan tahun hadapan milik kita lagi. Duit raya .. para guru dan akp pasti tersenyum.

Friday 27 June 2014

TAHNIAH SEMSALD DIKTIRAF SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN

Tahniah kepada seluruh warga SEMSALD yang diterajui oleh Pengetua Cemerlang Puan Hajah Juriah Ahmad atas pengiktirafan sekolah ini sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan bagi fasa 8. Majlis pengiktirafan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ini berlangsung pada 26 Jun 2014 di Dewan Serbaguna Aras 9 Blok E12 Putrajaya. Seramai 4 wakil (2 Guru dan 2 AKP) daripada sekolah ini yang turut menyaksian penyampaian anugerah tersebut kepada pengetua. Pengiktirafan yang menjadikan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Sains serta sukan Catur sebagai fokus kebitaraan ini telah mendapat ganjaran wang sebanyak rm100000 kepada pihak sekolah.

Monday 26 May 2014

Lawatan Nazir SBT

Assalamualaikum / Salam Sejahtera.

Selamat Datang !.. Hari ini 26.5.14 Sekolah Menengah Sains Lahad Datu dikunjungi 4 orang nazir lagi. Belumpun sampai seminggu kunjungan nazir penilaian Baiah Pengetua hari rabu lepas, hari ini kedatangan mereka semata-mata menilai kelayakan sekolah ini untuk dinobatkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Kehadiran mereka untuk penilaian SBT di sekolah  ini bukanlah kali pertama bahkan untuk kali ketiga sejak tahun 2011, namun ada beberapa perkara yang masih menjadi penghalang dari disenaraikan sebagai ahli keluarga SBT. 

Persiapan dan persediaan telah diaturkan sebaiknya oleh warga SEMSALD khususnya para guru. Bertungkus lumus antara mereka tanpa mengira cuti hujung minggu. Syabas dan Tahniah buat rakan-rakan khususnya barisan pentadir yang cekap dan cepat bertindak sekalipun  berita kehadiran nazir dikethaui sehari2 hari seelumnya. Mudah-mudahan hasil pemantauan kali ini memberi nafas baru kepada martabat dan status sekolah yang berusia 26 tahun ini. Sama-sama kita doakan. Amin

Friday 23 May 2014

Sambutan Hari Guru Sekolah 2014

Assalamualaikum / Salam Sejahtera

Cikgu Hazri dengan tendangan Beckham
Guru : Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi, itulah tema yang hangat disebut dan diulas semenjak seminggu dua minggu ini bagi meraikan sambutan hari guru peringkat kebangsaan. Tarikh 16 Mei setiap tahun merakam sejarah dan memori yang tersendiri bagi yang bergelar guru, cikgu, ustaz, ustazah, pendidikan ataupun pensyarah. Semestinya mereka semua akan tersenyum lebar bila melihat banyaknya hadiah dan cenderamata sumbangan anak-anak murid ataupun rakan sebaya yang diberikan kepada mereka. 

Contoh hidangan ikan masak 3 rasa oleh Cikgu Jumaiyah
Pada 23.5.14 di Sekolah Menengah Sains Lahad Datu ini pelbagai acara dan aktiviti yang telah diaturkan untuk menyambut hari guru peringkat sekolah. Para pelajar yang diterajui oleh Badan Kepimpinan Sekolah (Pengawas) memain peranan sebagaimana tahun-tahun sebelum ini menganjurkan sambutan yang sungguh bermakna bagi para guru ini. Tahniah untuk barisan pengawas yang berjaya mengadakan sambutan ini dengan penuh kemeriahan dengan gelagat para guru semasa mengikuti aktiviti-aktivti yang telah dirancang. 

Antara acara yang disediakan untuk aktiviti guru ialah pertandingan bola sepak, bola tampar, bola jaring, sukaneka dan pertandingan memasak. Sungguh meriah dan sedikit terseksa melihat para guru beraksi dalam acara tersebut khususnya dalam acara padang, apa tidaknya acara ini sudah lama ditinggalkan oleh mereka dan segala kemahiran individu tidak dapat ditonjolkan pada tahap yang maksimum. Sambutan hari guru ini menjadi lebih meriah dengan kehadiran hampir semua ajk PIBG di sekolah ini semata-mata meraikan para guru SEMSALD. Sesungguhnya guru-guru amat terharu dan berterima kasih kepada YDP PIBG Puan Hajjah Norhalinah Hj. Mokhtar yang telah merancang kehadiran ahli-ahli jawatankuasa PIBG tanpa pengetahuan pihak sekolah.

Selesai acara padang, sukaneka dan memasak seluruh warga SEMSALD bersedia untuk acara dewan. Dimulakan dengan ucapan wakil pengetua, Us. Mohd Ismail Mohamood (Penolong Kanan Pentadbiran) kemudian disusuli dengan acara pemotongan kek hari guru oleh kumpulan pentadbir sekolah, guru-guru kanan dan guru cemerlang serta ahli-ahli PIBG di atas pentas. Selain itu acara penyampaian anugerah guru bagi kategori-kategori tertentu turut diadakan oleh barisan pengawas. Antara anugerah disampaikan ialah Anugerah Meja Guru Paling Kemas, Anugerah Kereta Paling Bersih, Anugerah Guru Prihatin, Anugerah Guru Berjiwa Pelajar, Anugerah Guru Punctual, Anugerah Guru Serba Boleh, Anugerah Guru Berfalsafah dan Anugerah Tokoh Guru 2014.Semua anugerah-anugerah tersebut adalah hasil pencalonan dan undian keseluruhan pelajar daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Tahniah kepada guru yang mendapat anugerah-anugerah tersebut khususnya kepada Ustaz Mohd Ismail Bin Mohamood yang dipilih oleh pelajar sebagai Tokoh Guru Semsald 2014. 

Wednesday 21 May 2014

Pemantauan Baiah Pengetua Kali ke-3

Assalamualaikum / salam sejahtera.

Nazir yang khusuk mendengar taklimat pengetua
    Bersyukur kehadrat Allah swt tuhan pencipta alam, tahun 2014 ini sekali lagi SEMSALD tercalon sebagai penerima Baiah Pengetua atau Anugerah New Deal. Keputusan SPM 2013 yang amat membanggakan menjadi penyumbang utama tercalonnya sekolah ini dalam anugerah yang diidam-idamkan oleh semua sekolah di Malaysia. Apatahlagi untuk menerima anugerah bagi tahun ketiga berturut-turut sejak tahun 2011, semestinya para warga SEMSALD daripada barisan pentadbir, guru-guru dan anggota kumpulan sokongan akan tersenyum lebar dengan makna dan maksud yang tersendiri.

    Pada 21.5.14 baru-baru ini 4 orang nazir telah datang ke sekolah untuk memantau keseluruhan sekolah bagi tujuan kelayakan penerimaan anugerah baiah tersebut. Seawal 7.30 pagi kehadiran mereka, 4 orang nazir tersebut terus dibawa ke Bilik Mesyuarat sekolah untuk mendengar taklimat dan penerangan khas oleh pengetua mengenai sekolah secara keseluruhannya. Seusai sarapan pagi selepas taklimat tersebut mereka sudah bersedia untuk memeriksa segala jenis fail yang siap tersedia di Bilik Dokumentasi.

     Beberapa orang guru juga turut bersedia untuk dipantau proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) mereka di dalam kelas termasuk pengetua sendiri. Guru-guru yang terlibat dalam pemantau proses PdP tersebut ialah Puan Erijah Ajad (Bahasa Melayu), En. Azrul Isnirul (Pendidikan Muzik) dan Puan Hendy Jamari (B.Inggeris). Tahniah untuk kesemua guru ini dan pengetua Hajah Juriah Ahmad kerana mendapat respon yang baik daripada pemantauan nazir tersebut di dalam kelas.

      Seluruh warga sekolah amat mengharapkan pemantaun tersebut memberikan keputusan yang baik dan layak menerima anugerah New Deal untuk kesekian kalinya. Bukanlah wang ringgit dan habuan yang menjadi harapan kami namun itulah natijah dan hasil usaha para warga SEMSALD yang bekerja keras dan bertungkus lumus menaik dan mengharumkan nama sekolah dalam pelbagai bidang khususnya bidang akademik. Untuk warga SEMSALD sama-sama kita doakan.

Saturday 10 May 2014

Doa Kesyukuran

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera

Seluruh warga SEMSALD mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada Bonda Pengetua Cemerlang Puan Hajah Juriah binti Ahmad daripada menunaikan ibadat umrah di tanah suci Mekah. Hari ini 9 Mei 2014 satu majlis kesyukuran diadakan  oleh Kelab Staff di kantin sekolah bagi meraikan kepulangan bonda yang dimulakan dengan bacaan doa kesyukuran oleh Ketua Panitia Pendidikan Islam . Mudah-mudahan ibadat umrah yang telah dilaksanakan mendapat keredhaan dan keberkatan Allah. InsyaAllah.

Album SMSLD